PENYANDANG Kerusi DUN N6 Tupong Fazzrudin Abdul Rahman. FOTO Nadim Bokhari
PENYANDANG Kerusi DUN N6 Tupong Fazzrudin Abdul Rahman. FOTO Nadim Bokhari
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Matang-Kuching akan diselesaikan secepat mungkin selepas kerja pembinaannya tergendala sebelum ini.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihaknya menyedari masalah itu perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan bertambah teruk.

"Antara cabaran yang perlu dihadapi di kawasan ini adalah masalah kesesakan lalu lintas

termasuk di Jalan Matang-Kuching yang tergendala sebelum ini.

"Sekiranya saya dilantik semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan ini, saya mahu kerja-kerja pembinaan bagi projek di Jalan Matang-Kuching dijalankan segera.

"Sebaik projek itu siap nanti, ia akan membolehkan aliran trafik di kawasan ini lebih lancar.

"Pada masa sama, saya juga akan memohon untuk membina satu lagi laluan 'underpass' di bulatan berhampiran Emart Matang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Tupong, di sini.

Fazzrudin berkata, beliau mempunyai beberapa perancangan untuk pembangunan bagi penduduk di kawasan DUN berkenaan termasuk meneruskan kaedah strategi pembangunan bagi kategori taman perumahan baharu dan lama selain kampung.

"Di taman perumahan baharu ada infrastruktur baik, namun ia mungkin tidak mempunyai prasarana sosial seperti taman riadah atau surau.

"Pada masa sama, bagi taman perumahan lama pula mungkin ada mengalami kerosakan parit dan lain-lain, manakala di kampung pula ada dilengkapi infrastruktur asas tetapi mungkin berdepan masalah seperti perparitan.

"Justeru itu, saya mahu meneruskan strategi pembangunan di tiga elemen ini bagi memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan berkenaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut melihat kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan penduduk di kawasan DUN berkenaan.

"Penularan Covid-19 memberi impak negatif apabila ada penduduk yang hilang pekerjaan, terpaksa menutup perniagaan dan berhenti melanjutkan pelajaran.

"Dalam usaha menjaga kesejahteraan penduduk, saya merangka strategi yang membolehkan penduduk bangkit daripada impak dibawa oleh Covid-19.

"Saya berhasrat untuk memperkenalkan kaedah baru bagi menjana pendapatan penduduk serta

membekalkan keperluan bagi golongan B40 serta membangkitkan belia dengan aktiviti dan latihan," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan kempen, beliau memaklumkan sudah memulakan kempen sejak pilihan raya negeri (PRN) lalu dengan prestasi ditonjolkan sejak 2016.

Katanya, terdapat pelbagai pencapaian yang dilakukan beliau di kawasan DUN terbabit yang boleh dilihat oleh rakyat sepanjang tempoh berkenaan.

"Ada banyak lagi projek yang akan dilaksanakan secara berperingkat di kawasan ini.

"Dalam tempoh berkempen ini, kami tidak dapat melakukannya secara fizikal dan kini kami fokus untuk menjalankan kempen menggunakan media sosial selain mengambil kesempatan berada di tempat awam tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 4:59 PM