LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Roji Kawi


Kuching : Pemimpin muda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam tindakan individu yang membaling bom petrol ke kedai serbaneka KK Mart di Satok, di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, tindakan ekstrim itu amat mengejutkan masyarakat umum dan tidak sepatutnya berlaku di Sarawak.

Justeru, beliau agar siasatan segera dan menyeluruh dijalankan untuk mengesan pelaku yang bertanggungjawab melakukan tindakan itu.

"Kerjasama orang ramai juga diperlukan bagi menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

"Saya menyeru agar masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak tenang dan matang dalam memahami isu semasa yang berkait dengan insiden cetakan kalimah Allah pada stokin yang dijual di rangkaian kedai KK Mart," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lukanisman berkata, insiden seperti itu dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan orang awam dan pekerja di premis berkenaan.

"Ancaman seperti ini juga bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan jenaka atau mengikut tindakan yang berlaku di tempat lain.

"Tindakan undang-undang wajar dikenakan kepada pelaku dengan kadar segera. Tiada kompromi kepada kumpulan yang bertindak dengan sengaja untuk mencetus ketegangan serta ketakutan dikalangan masyarakat berbeza agama dan kaum," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan membaling bom petrol itu.

Beliau berkata, perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi ia juga tindakan keganasan yang tidak boleh dibiarkan.

"Saya menggesa orang ramai supaya bertenang dan saya yakin pihak polis sedang meneruskan kes ini dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

"Pada masa yang sama, saya menasihatkan orang ramai supaya mengelak spekulasi dan biarkan polis menjalankan siasatan terhadap kejadian itu," katanya.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong dan Timbalan Ketua Pemuda PBB turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam mendepani isu berkaitan dan menghormati kedaulatan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:32 PM