Mohd Roji Kawi


Kuching: Keputusan Kerajaan Persekutuan memberi kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak akan membolehkan birokrasi dalam melaksanakan projek pembangunan di dua wilayah itu dikurangkan.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata, keputusan ini sekali gus dapat mempercepatkan projek yang amat diperlukan rakyat.

Menurutnya, keputusan itu juga memberi kuasa kepada Sarawak dan Sabah untuk mempunyai autoriti dalam pembangunan yang dilaksanakan.

"Kuasa yang diberikan itu membolehkan penekanan yang lebih besar terhadap pembangunan bersepadu seterusnya merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar.

"Bagi Sarawak, pelaksanaan pantas projek pembangunan menepati Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang dirancang oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, pada masa sama, penurunan lebih banyak hak kepada Sarawak dan Sabah oleh Kerajaan Persekutuan amat dinantikan rakyat dia wilayah itu.

"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmennya mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan tuntutan itu.

"Sarawak mengalu-alukan perkembangan berkaitan dengan pemulihan dan realisasi hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak dan Sabah," katanya.

Antara yang dituntut adalah pembayaran geran khas kepada negeri-negeri Borneo di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 9:47 PM