Lelaki ditemui maut selepas dipercayai menikam diri sendiri dalam kejadian di sebuah kelab malam di Taman Usahawan Kepong Kuala Lumpur. FOTO IHSAN POLIS
Lelaki ditemui maut selepas dipercayai menikam diri sendiri dalam kejadian di sebuah kelab malam di Taman Usahawan Kepong Kuala Lumpur. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pekerja sebuah kelab malam ditemui maut selepas dipercayai menikam diri sendiri dalam kejadian di Taman Usahawan Kepong di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 3.57 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis ke lokasi dan menemui lelaki berusia 49 tahun itu dalam keadaan terbaring atas lantai dan berlumuran darah.

"Berdasarkan siasatan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan didapati lelaki itu bersama dua rakan sekerja minum minuman keras selepas menutup operasi premis pada 12 tengah malam.

"Pada 3.04 pagi, lelaki itu dilihat mengambil sebilah pisau di dalam premis dan menikam paha kanannya beberapa kali sebelum rebah di atas lantai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beh berkata, pemeriksaan pada lelaki itu yang tidak memakai baju, berseluar denim panjang dan berkasut mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di paha kanan.

"Kertas siasatan dibuka sebagai laporan mati mengejut ketika ini kerana siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah. Punca dia bertindak demikian juga masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 6:54 PM