LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan samun di hadapan sebuah sekolah di Persiaran Dutamas, di sini, Khamis lalu, berjaya ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin jam 11.20 pagi tadi.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas kayu yang digunakan suspek untuk memukul mangsa.

"Hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku memukul mangsa menggunakan kayu selepas tindakannya 'mengorat' wanita itu tidak dilayan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beh berkata, mangsa bertindak merakam perbuatan suspek dan menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati dan mahu merampas telefon bimbit itu untuk memadamkan rakaman video berkenaan.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan dia akan direman esok untuk membantu siasatan," katanya.

Terdahulu , Harian Metro melaporkan penunggang motosikal yang dipercayai cuba menyamun wanita yang cedera dipukul dengan kayu di hadapan sekolah itu sudah ditahan polis, semalam.

Beh dipetik berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan jam 3.30 petang di PPR Sri Aman, Jinjang Utara.

Sebelum ini, kejadian yang berlaku jam 8.53 malam, Khamis lalu itu tular selepas wanita warga asing berusia 26 tahun terbabit memuat naik gambar dan video kejadian itu di Instagram.

Berita berkaitan:

  • Penyamun sudah ditahan
  • Penyamun rampas telefon bimbit, pukul wanita diburu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 6:37 PM