Siti Rohana Idris


Tumpat: "Memang tak sabar kerana semua rakan sudah berkhatan, tinggal kami berdua sahaja," kata pasangan kembar dari Kampung Telaga Lanas di sini.

Mohd Iman Irfan Mazalan dan adiknya, Mohd Iman Ilyas, 9, ditemui ceria selepas selamat dikhatankan sempena program Khatan Perdana anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mohd Iman Irfan berkata, dia dan adiknya selalu bertanyakan bapa mereka, Mazalan Mohamed, 53, bila tarikh akan dikhatankan kerana dirasakan terlalu lama menunggu detik bersejarah itu.

"Pagi tadi kami bangun awal sebelum bersiap kerana sudah tidak sabar untuk berkhatan dan betul seperti kata rakan lain bahawa berkhatan tidak sakit," kata murid Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 itu.

Mazalan berkata, sejak tahun lalu lagi anak sulung dan kedua dari tiga beradik itu ingin dikhatankan kerana semua rakan mereka sudah berkhatan namun dia dan isteri merasakan mereka masih terlalu muda.

Bagaimanapun tahun ini Mazalan sekali lagi diajukan soalan bila akan dikhatankan menyebabkan dia dan isteri terus mendaftarkan nama pasangan itu untuk program hari ini.

"Kami juga risau tidak sempat menjaga mereka yang akan berpantang serentak tapi tahun ini kami rasakan masanya sudah sesuai," katanya.

Seramai 146 peserta dalam DUN Pengkalan Kubor yang berusia antara enam hingga 12 tahun mengambil peluang berkhatan dalam program yang dijalankan di Wisma Imtiaz.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan ( NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, acara tahunan itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata, peserta hanya perlu membayar RM20 sahaja berbanding kos yang mencecah RM100 jika berkhatan di klinik swasta dan untuk program hari ini, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM10,000.

"Program khitan perdana ini adalah acara tahunan namun tahun lalu tidak diadakan disebabkan pandemik Covid-19.

"Walaupun pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sudah semakin dilonggarkan, peserta khatan hari ini masih perlu memakai pelitup muka dan ibu bapa dikehendaki mengimbas MySejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 11:56 AM
Mohd Iman Irfan dan Mohd Iman Ilyas bersama ibu bapa di Wisma Imtiaz. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Iman Irfan dan Mohd Iman Ilyas bersama ibu bapa di Wisma Imtiaz. FOTO Nik Abdullah Nik Omar