PESERTA dimandikan sebelum dikhatan.
PESERTA dimandikan sebelum dikhatan.
Icka S Hassan


Klang: Tidak menangis dan bersahaja ketika dikhatankan membawa rezeki kepada Muhd Aqil Yahaya, 8, yang dipilih sebagai peserta paling cool dalam Program Berkhatan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kariah Masjid Al-Falah Kampung Idaman di sini, semalam.

Berikutan itu, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman itu menerima hamper daripada penganjur.

Muhd Aqil berkata, sebelum dan ketika proses dikhatankan dia sangat berdebar namun dia banyakkan berzikir untuk menghilangkan perasaan itu.

“Walaupun ada rasa sakit sedikit namun saya kuatkan semangat malah sentiasa berzikir untuk menghilangkan perasaan takut dan berdebar.

“Sebenarnya saya sendiri yang memberitahu ayah mengenai niat untuk berkhatan pada cuti sekolah ini kerana ramai rakan saya sudah berkhatan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Falah, Mohd Hafiz Abd Hamid, 33, berkata, program berkhatan itu kali pertama diadakan di masjid berkenaan manakala sambutan Maulidur Rasul diadakan setiap tahun sejak dulu lagi.

“Pada tahun ini seramai 77 peserta berusia antara lima hingga 12 tahun dikhatankan dengan menggunakan khidmat dua doktor pakar dibantu tiga pembantu perubatan.

“Khatan dilakukan dengan menggunakan teknologi laser tetapi amalan tradisi masyarakat Melayu masih diamalkan seperti peserta diarak masuk dengan menaiki lori dan acara mandi beramai-ramai dengan siraman air dari jentera bomba,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang berkhatan itu turut dibawa berendam di dalam kolah yang dicampurkan ais sebelum dikhatankan.

“Jika dulu, kanak-kanak yang berkhatan dibawa berendam di dalam sungai kerana airnya yang sejuk dapat melembutkan kulit dan memudahkan proses khatan.

“Namun disebabkan tiada sungai, kami mencampurkan ais di dalam kolah untuk mereka berendam selama 10 hingga 15 minit,” katanya.

Katanya, peserta dikenakan kos untuk berkhatan RM20 manakala selebihnya ditanggung masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 9:16 AM