ANGGOTA penyelamat SAR Sungai Perlis membawa mayat Mohd Faizal Hisyam ke Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis. FOTO Ihsan JBPM Perlis
ANGGOTA penyelamat SAR Sungai Perlis membawa mayat Mohd Faizal Hisyam ke Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis. FOTO Ihsan JBPM Perlis
Aizat Sharif

Kangar: "Bila ayah hendak pulang?," kata Atiqah Abd Rahman, 31, mengulas pertanyaan sering diajukan dua anaknya yang masih belum dijawabnya sehingga kini.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana untuk memberi jawapan kepada soalan dua anak lelakinya berusia 10 dan empat tahun itu mengenai kematian bapa mereka, Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, mangsa kemalangan bot di Sungai Perlis.

Mayat Mohd Faizal Hisyam ditemukan kira-kira jam 7.46 pagi tadi, 20 meter dari lokasi kejadian kemalangan bot itu dilaporkan berlaku manakala usaha mencari dan menyelamat rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 45, masih diteruskan sehingga kini.

"Saya reda dengan ketentuan ini, sekurang-kurangnya mayat suami saya sudah pun ditemui. Anak selalu tanya ayah mereka tetapi saya tiada jawapan malah yang bongsu juga ada bertanya yang bilakah ayah mereka hendak pulang.

"Saya tahu mereka dari semalam menangis sebab tidak sempat tengok bapa mereka kerana suami keluar dari rumah untuk bekerja. Tak tahulah macam mana saya nak harungi hidup selepas ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, dia bergegas ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar selepas dimaklumkan mengenai penemuan mayat suaminya itu.

"Namun petugas HTF mengatakan proses bedah mayat suami akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pula.

"Sekarang ini saya pula pikul tugas sebagai ketua keluarga namun saya akan tetap teruskan juga membesarkan anak tanpa suami disisi," katanya.

Atiqah berkata, dalam menghadapi musibah berkenaan, selain ahli keluarga, dia turut menerima bantuan dan sumbangan daripada kenalan terdekatnya serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor yang turut meluangkan masa bertemu dan menyerahkan sumbangan kepadanya di HTF hari ini.

Khamis lalu, Mohd Faizal Hisyam dan rakannya, Abdul Rashid dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan hilang selepas bot yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah lagi bot ketika menyusuri Sungai Perlis.

Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam ketika kedua-dua mangsa berkenaan baru sahaja berlepas dari Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis menuju ke sebuah lagi pangkalan bot yang terletak sekitar muara sungai berkenaan.

Mayat Mohd Faizal Hisyam ditemui anggota penyelamat SAR selepas dua hari operasi pencarian dilaksanakan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:44 PM