RAZILAH ketika ditemui di Taman Redan Perdana Muadzam Shah. FOTO Farizul Hafiz Awang
RAZILAH ketika ditemui di Taman Redan Perdana Muadzam Shah. FOTO Farizul Hafiz Awang
TN Alagesh

Rompin: Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) malam tadi cukup bertanggungjawab pada keluarga selain berusaha memastikan ibu bapanya hidup penuh selesa.

Antara jasa Allahyarham pada ibu bapanya ialah dengan membelikan mereka rumah pada 2017 selain Proton Saga pada 2019.

Ibunya, Razilah Daud, 52, berkata, Mohamad Affendi yang juga anak sulung daripada tiga beradik sentiasa mahukannya serta suami, Bustamy Tuakal, 70, berehat di rumah selepas bekerja keras membesarkan mereka tiga beradik selama ini.

"Mohamad Affendi anak yang baik, dia hanya mahu kami berehat di rumah malah menyediakan rumah untuk kami, sebuah kereta selain tidak pernah lupa mengirim wang kepada kami setiap bulan. Pengorbanan serta jasanya kepada kami cukup besar.

"Sebelum berpindah ke rumah ini, kami menyewa di rumah di Felda Keratong 5 manakala suami bekerja sebagai buruh untuk menanggung keluarga.

"Mohamad Affendi tidak mahu kami terus hidup dalam keadaan susah dan kerana itu, dia menyediakan semua kemudahan untuk kami," katanya ditemui di kediamannya di Taman Redan Perdana di sini, hari ini.

Razilah berkata, dia tahu yang anaknya itu sedang menjalani tugasan serta ujian penting.

"Mohamad Affendi biasanya akan memaklumkan serta memohon restu selain doa saya sebelum menduduki atau menyertai ujian tertentu.

"Katanya, dia akan mengikuti satu ujian yang sangat susah sebelum ia selesai pada Isnin ini dan selepas itu, rutin hariannya akan jadi lebih mudah," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga yang hanya mahu dikenali sebagai Tam, 36, menyifatkan Mohamad Affendi sebagai individu pendiam namun sentiasa cemerlang dalam pendidikan.

"Mohamad Affendi berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan kerana mahu mengubah nasib keluarga.

"Dia memang berminat untuk menyertai TUDM. Selepas menamatkan tingkatan tiga di Muadzam Shah, dia menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) sebelum menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)," katanya.

Kata Tam, bapa Mohamad Affendi bekerja sebagai tukang rumah di Keratong dan lelaki berkenaan membelikan ibu bapanya rumah apabila dia mula bekerja.

Kata Tam, kali terakhir dia bertemu Mohamad Affendi ialah pada bulan lalu apabila Allahyarham menziarah keluarganya di Sendayan, Negeri Sembilan ketika menghadiri kursus.

"Kami berbual seperti biasa. Dia juga memaklumkan akan menamatkan kursus pada Isnin ini," katanya.

Jenazah Mohamad Affendi akan disemadikan di Tanah Perkuburan Muadzam Shah selepas solat Maghrib hari ini.

Allahyarham terbunuh selepas pesawat Hawk berkenaan terhempas jam 10.07 malam di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Major Mohd Fareez Omar, 33, pula cedera dalam kejadian berkenaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 5:09 PM