Aizat Sharif


Kangar: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Perlis, di sini, ditangguhkan pada 7 malam ini, selepas kedua-dua mangsa belum ditemui.

Keadaan di sekitar sungai itu semakin gelap dan menyukarkan untuk anggota penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar untuk menyelam mencari mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Ruhisha Haris berkata, pihaknya berjaya menemui bangkai bot mangsa yang karam di lokasi kemalangan kira-kira satu kilometer dari Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis.

"Pasukan penyelam JBPM sudah menyelam di lokasi kemalangan dan menemui bangkai bot karam itu dan difahamkan bot itu pecah di sisi kanan dan bawah.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa gagal ditemui sehingga waktu ini dan kami turut menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9).

"Keadaan pasang surut air sungai ini tidak banyak menggangu operasi pencarian di sekitar muara Sungai Perlis, namun sekiranya air begitu surut ia menyukarkan pergerakan bot penyelamat di sungai ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan SAR di Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis, hari ini.

RUHISHA (kiri) meninjau perkembangan SAR dua lelaki jatuh di Sungai Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
RUHISHA (kiri) meninjau perkembangan SAR dua lelaki jatuh di Sungai Perlis. FOTO AIZAT SHARIF

Menurutnya, kedalaman air di kawasan Sungai Perlis terutama di lokasi kemalangan sekitar 1.8 meter (m) sekiranya ia surut dan boleh mencecah sehingga 2.7m hingga 3m ketika air pasang.

Katanya, pihak tidak menolak kemungkinan untuk membesarkan lagi kawasan pencarian sehingga ke laut perairan Kuala Perlis pada kedudukan empat kilometer dari jeti berkenaan.

"Jadi ada kemungkinan mangsa hanyut hingga ke laut apabila air surut, tetapi radius pencarian masih ditumpukan sekitar lokasi kemalangan dan tidaklah meluas sehingga ke laut buat masa ini.

"Sekiranya Unit K9 tidak menemui sebarang petunjuk mangsa sama ada pagi atau tengah hari esok, kita akan teruskan pencarian sehingga ke kawasan laut," katanya.

Dalam kejadian semalam, dua lelaki dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi bot di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis.

Mangsa yang masih hilang dikenal pasti Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, iaitu seorang nelayan manakala rakannya, pembaiki bot, Abdul Rashid Md Derus, 45.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 9:04 PM