Aizat Sharif


Kangar: Dua lelaki dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi bot dalam kejadian di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Mangsa yang masih hilang itu dikenal pasti sebagai, Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, iaitu seorang nelayan manakala rakannya, pembaiki bot, Abdul Rashid Md Derus, 45, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan selepas pertembungan itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 malam apabila mangsa yang menaiki sebuah bot fiber sedang menyusuri sungai berkenaan menuju ke Jeti Tok Kuning.

"Bot mereka mengalami kemalangan apabila berlanggar dengan sebuah lagi bot yang agak besar yang dipercayai menyusuri sungai berkenaan dari arah bertentangan.

"Pertembungan dua bot itu menyebabkan kedua-dua mangsa hilang selepas terjatuh ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu sebuah lagi bot tidak mengalami kecederaan dan dia segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Perlis berhubung kemalangan berkenaan.

ANGGOTA polis serta agensi lain seperi bomba, APMM, APM sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua lelaki yang jatuh. FOTO ihsan JBPM Perlis
ANGGOTA polis serta agensi lain seperi bomba, APMM, APM sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua lelaki yang jatuh. FOTO ihsan JBPM Perlis

"Siasatan awal di lokasi berkenaan mendapati, bot mangsa mengalami kerosakan hadapan kanan dan bahagian tengah.

"Kita kemudian mengerahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan menubuhkan pusat kawalan di Jeti Tok Kuning Kuala Perlis," katanya.

Beliau berkata, seramai 28 anggota polis termasuk lima pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dan Balai Polis Kuala Perlis dikerahkan dalam operasi berkenaan.

"Kita turut dibantu, 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis dan lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis.

"Agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan nelayan tempatan turut membantu operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 1:43 PM