Saiful Haizan Hasam


Kuching: Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak menggadaikan masa depan dengan memilih parti yang gagal memenuhi kehendak rakyat dan tidak mampu menunaikan janji.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka juga perlu menolak parti yang menipu rakyat serta bersekongkol dengan mereka yang pernah gagal memimpin negara.

Beliau berkata, sebagai rakyat Sarawak, adalah menjadi kewajipan mereka untuk memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pada masa kini dan akan datang.

"Ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan Sarawak yang kita sayangi.

"Kepimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian yang cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

"GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang Stabil, Makmur dan Gemilang, demi menjadikan Sarawak Maju Menjelang 2030," katanya dalam ucapan pelancaran Manifesto GPS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, di sini malam ini.

ABANG Johari (tengah) bersama barisan pimpinan tertinggi GPS bergambar selepas melancarkan manifesto GPS. FOTO Bernama
ABANG Johari (tengah) bersama barisan pimpinan tertinggi GPS bergambar selepas melancarkan manifesto GPS. FOTO Bernama

Majlis itu berlangsung secara hibrid dengan kehadiran fizikal membabitkan kepemimpinan tertinggi komponen GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Manifesto itu mengandungi 34 tawaran komprehensif untuk memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sebagai Pengerusi GPS, beliau dan pasukan yang terdiri daripada kepimpinan pelbagai kaum akan terus komited untuk memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, GPS akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak yang tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan.

"GPS telah meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan Sarawak.

"Usaha membangunkan Sarawak hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan Sarawak melalui PRN Ke-12 ini.

"Masa hadapan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak. Kita membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari, berkata PRN kali ini akan mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat pertama kali GPS bertanding atas tiket sendiri dengan gabungan parti-parti anak Sarawak tanpa campur tangan dan pengaruh parti-parti dari Semenanjung Malaysia.

Katanya, susulan krisis kepimpinan di peringkat Persekutuan pada 2018, pihaknya mengambil langkah yang sangat drastik dan berani dengan menubuhkan GPS pada 12 Jun 2018.

"Sarawak memerlukan satu gabungan parti politik anak Sarawak yang kuat dan bersatu bagi berjuang membela nasib rakyat Sarawak tanpa dikawal dan dipengaruhi oleh parti-parti politik luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 9:35 PM