Saiful Haizan Hasam


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang bertanding sebagai calon bebas bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana perbuatan itu melanggar perjanjian yang dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjamin partinya tidak akan terbabit dalam Pilihan Raya Negeri Negeri (PRN) Sarawak.

Katanya, pada masa ini pihaknya menunggu apakah bentuk tindakan yang bakal diambil Bersatu terhadap Ali.

"Tan Sri Muhyiddin membuat kenyataan media yang dia akan ambil tindakan tertentu kepada Ali Biju, (jadi) kita tunggu.

"Sudah tentu saya kecewa kerana ada perjanjian tertentu kerana dia (Muhyiddin) beritahu tiada calon Bersatu dalam PRN Sarawak," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto GPS, di sini malam ini.

ABANG Johari. FOTO Aizuddin Saad
ABANG Johari. FOTO Aizuddin Saad

Ali memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai Bersatu selepas 'Sheraton Move'.

Pada 27 November lalu, Muhyiddin mengesahkan partinya tidak bertanding dalam PRN Sarawak dan sebaliknya akan membantu GPS.

Muhyiddin berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Abang Johari.

Pada hari penamaan calon Isnin lalu, Ali secara tiba-tiba muncul di pusat penamaan calon dan menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau berdepan saingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday Belik (GPS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:57 PM