ABANG Johari ketika sidang media selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat, hari ini. FOTO Bernama
ABANG Johari ketika sidang media selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat, hari ini. FOTO Bernama
Melvin Joni


Serian: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menolak dakwaan ada Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Beliau selaku pengerusi GPS menegaskan gabungan itu akan terus kekal bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tiada Ahli Parlimen GPS melompat menyokong Anwar. Pendirian GPS adalah teguh di belakang kepimpinan Muhyiddin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi turut menafikan sebarang kaitan gabungan itu dengan Anwar.

Katanya GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin.

"GPS tiada sebab meninggalkan kerajaan persekutuan PN. GPS masih kekal teguh bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya yang dihubungi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menambah GPS yang dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) kekal berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah kerajaan persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara.

Justeru, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit merangkap Setiausaha Agung PBB mengingatkan Anwar supaya menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.

"Sebagai seorang ahli politik veteran dan berpengalaman, Datuk Seri Anwar seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:48 PM