Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaik taraf fungsi pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di negara ini kepada Balai Polis untuk memudahkan rakyat kawasan pedalaman berurusan dengan pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagi permulaan, sebanyak 11 pos kawalan PGA yang dikenal pasti akan dinaik taraf sebagai Balai Polis.

"Sebanyak 11 pos kawalan PGA itu dikenal pasti, masing-masing sembilan di Sabah dan dua di Sarawak dan ia akan diperluaskan ke seluruh negara jika berjaya membawa keberkesanan yang kita harapkan.

"Ia dimulakan serta-merta dengan semua 11 fungsi pos kawalan PGA sebagai balai adalah projek rintis yang akan dipantau selama enam bulan pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke pos kawalan PGA lain sebanyak 170 di seluruh negara," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perluasan Fungsi Pos Kawalan Sebagai Balai Polis di 11 Pos Pasukan Gerakan Am (PGA).

Hamzah diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri Dalam Negeri: Perluasan Fungsi Pos Kawalan Keselamatan Pasukan Gerakan Am Sebagai Balai Polis di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Hamzah diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri Dalam Negeri: Perluasan Fungsi Pos Kawalan Keselamatan Pasukan Gerakan Am Sebagai Balai Polis di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, setakat ini pihaknya menerima 14 laporan polis dalam tempoh dua minggu terakhir dan aduan yang diterima menunjukkan warga pedalaman sudah memahami PGA juga boleh dijadikan Balai Polis.

"Penduduk di Sabah dan Sarawak misalnya menghadapi kekangan dari segi kedudukan geografi serta jarak tempat tinggal dari balai polis yang agak jauh menyukarkan mereka mendapatkan akses kemudahan polis.

"Dengan transformasi yang dilakukan ke atas pos kawalan PGA dapat memudahkan urusan dengan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:56 PM