Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan unit baharu dikenali sebagai Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bagi menyiasat kes membabitkan tahanan di lokap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, unit berkenaan akan mula beroperasi bermula 1 Januari tahun depan dengan permulaan 14 pegawai.

"Unit ini akan diketuai seorang pegawai kanan polis berpangkat Superintendan dan dibantu 12 pegawai polis serta seorang pegawai awam.

"Unit ini akan beroperasi di bawah kendalian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard,"katanya pada sidang media selepas melancarkan Aspirasi Keluarga Malaysia: Perluasan Fungsi Pos Kawalan Keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

HAMZAH berucap ketika majlis pelancaran. FOTO Hairul Anuar Rahim
HAMZAH berucap ketika majlis pelancaran. FOTO Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata, penubuhan unit baharu ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat selain mempertingkatkan lagi integriti dan imej polis.

"Unit ini akan menumpukan siasatan unsur jenayah dan mengenal pasti subjek, siasatan kecuaian atau kelalaian anggota serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan.

"Saya sudah jelaskan di Parlimen, kematian di lokap berlaku bukan sebuah perkauman seperti dibangkitkan setengah pihak dan tidak ada kena mengena dengan gender," katanya.

Hamzah berkata, sejak 2015 sehingga 2021 sebanyak 176 kematian dalam lokap dan kematian dalam tahanan direkodkan yang membabitkan pelbagai bangsa.

"KDN juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melantik panel doktor bagi membawa terus tahanan ke klinik swasta.

"Prosedur yang digunakan sekarang ialah menunggu doktor yang dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia memakan masa yang lama. Kita kalau boleh dapat tangkap sahaja sebelum masuk lokap sudah ada panel doktor buat sairngan dan barulah kita tahu kedudukan kesihatan tahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 12:58 PM