Nazri membeli ayam pada harga RM8 seekor di PJKM pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Nazri membeli ayam pada harga RM8 seekor di PJKM pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Tawaran bahan makanan pada harga 20 peratus lebih rendah di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berbanding di pasaran amat melegakan pengguna terutama B40.

Mereka bukan setakat bersyukur dengan tawaran harga rendah itu, malah meminta kerajaan mengadakannya secara lebih kerap.

Nazri Ibrahim, 56, berkata berikutan harga ayam mencecah RM10 sekilogram, baru-baru ini, dia sukar mendapatkan ayam yang menjadi kegemaran anggota keluarganya.

"Sebelum harga naik, saya boleh beli seekor ayam seberat dua kilogram (kg) pada harga RM13.60 kerana sekilogram hanya RM6.80, tetapi sekarang sudah naik hingga RM10.

"Saya terpaksa membayar RM20 untuk mendapatkan ayam pada berat sama dan ia menyebabkan jarang membeli ayam," katanya ketika ditemui pada PJKM di pekan Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Program dua hari bermula semalam itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan disertai enam agensi kerajaan dan 13 syarikat yang menawarkan pelbagai bahan makanan, termasuk ayam pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Nazri yang bergantung rezeki pada kerja kampung berkata, dia membeli tiga ayam yang dijual pada harga RM8 seekor pada program itu.

Sementara itu, Suhaila Shawal, 55, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan telur gred C yang dijual pada harga RM11.80 sepapan berbanding RM13 di kedai biasa.

Menurutnya, sejak dua atau tiga bulan lalu, belanja dapur memang terasa berat kerana harga kebanyakan bahan makanan melambung dan membebankan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:41 PM