Nanta Linggi ketika Program Jualan Keluarga Malaysia baru-baru ini. FOTO NSTP
Nanta Linggi ketika Program Jualan Keluarga Malaysia baru-baru ini. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan sejak 2 Disember lalu mencatatkan rekod hasil jualan mencecah RM54.54 juta.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sejak ia dilaksanakan, PJKM terus mendapat sambutan daripada pelbagai pihak dan sehingga kini program berkenaan sudah menerima seramai 2.796 juta pengunjung.

"PJKM ini juga berjaya dilaksanakan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara yang meliputi 1,702 lokasi iaitu tujuh lokasi bagi setiap kawasan Parlimen.

"Program ini adalah usaha kerajaan membantu meringankan beban serta kos sara hidup rakyat dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

"Sepanjang pelaksanaan PJKM, pelbagai barangan keperluan harian dijual dengan harga istimewa sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat.

"Antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung adalah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung dan sayur-sayuran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejayaan PJKM itu adalah hasil kerjasama daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Menurutnya, program itu turut disokong oleh pemain industri peruncitan yang terdiri daripada pasar raya, pembekal dan pemborong.

Sementara itu, Alexander mengingatkan peniaga untuk sentiasa beretika dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kerajaan turut menyeru supaya rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar ini yang turut melanda dunia serta memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global dan negara.

"Seramai 2,200 pegawai penguat kuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh negara akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap barangan keperluan harian dalam pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 10:26 AM