HASNOL Zam Zam Ahmad membantu mempromosi jualan barangan pada PJKM di pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
HASNOL Zam Zam Ahmad membantu mempromosi jualan barangan pada PJKM di pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji semula harga maksimum ayam RM9.30 sekilogram selepas ayam import memasuki pasaran.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, harga ayam ditentukan keadaan pasaran dan lazimnya, apabila penawaran ayam meningkat berikutan kemasukan ayam import, harga akan turun.

Beliau berkata, KPDNHEP memantau keadaan pasaran selepas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) membenarkan ayam sejuk beku diimport sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun hadapan.

"Harga maksimum itu bergantung pada harga ayam import dan kita lihat kesannya kepada penawaran, kalau ada penurunan harga, itu berita baik untuk pengguna.

"Apabila ayam import dibawa masuk, penawaran akan menjadi berlebihan dan kita akan kaji semula harga maksimum ayam RM9.30," katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Program dua hari bermula semalam itu disertai enam agensi kerajaan dan 13 syarikat yang menawarkan pelbagai bahan makanan, termasuk ayam pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar.

Semalam, Timbalan Menteri kementerian itu, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa depan.

Ia ditetapkan mengikut Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang pertama kali diadakan, berkuat kuasa selama 25 hari hingga 31 Disember depan, bertujuan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:29 PM