Datuk Jaden Teoh membawa pulang Proton X70. FOTO OWEE AH CHUN
Datuk Jaden Teoh membawa pulang Proton X70. FOTO OWEE AH CHUN
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Kempen cabutan bertuah #JT1111 Indahnya Bersama Anda dianjurkan syarikat penghantaran terkemuka J&T Express dengan menawarkan hadiah lebih RM1.5 juta sebagai tanda terima kasih kepada pelanggannya melabuhkan tirainya.

Berlangsung sepanjang November dan menjadi program terbesar anjuran syarikat penghantaran berkenaan, kempen itu nyata mendapat sambutan menggalakkan.

Seramai 72 pemenang diumumkan menerusi lapan cabutan dilakukan secara langsung di Facebook J&T Express - Malaysia.

Antara hadiah dimenangi ialah lapan unit Proton X70, lapan unit motosikal Yamaha LC135, 40 unit letefon pintar Oppo, 500 unit bar emas, 80 unit fon telinga Realme dan 20 baucer servis kereta daripada Proton.

Pengurus Penjenamaan J&T Express (M) Sdn Bhd Emelia Yap berkata, pihaknya sangat gembira dan terharu dengan sambutan yang cukup menggalakkan kerana ramai yang tidak sabar memenangi hadiah ditawarkan.

"Sepanjang kempen ini terdapat peningkatan pelanggan iaitu sebanyak 42%.

"Justeru, terima kasih saya ucapkan kepada semua pelanggan dan juga jawatankuasa acara yang menjayakan kempen ini.

"Sesungguhnya, pembabitan orang ramai dalam kempen ini adalah selari dengan slogan kempen iaitu Indahnya Bersama Anda," katanya.

Selepas tiga tahun bertapak di Malaysia, syarikat penghantaran ekspres berdasarkan e-teknologi moden yang terkemuka dengan tagline Express Your Online Business ini terus mencatatkan perkhidmatan memberangsangkan, sekali gus antara pilihan utama rakyat Malaysia.

Bukan itu saja, dengan cawangan sebanyak 1,635 di seluruh negara, perkhidmatan ditawarkan syarikat yang mula beroperasi sejak 2018 itu juga lebih pantas.

Ia juga menjadi faktor utama J&T Express menjadi pilihan.

Selain kempen #JT1111 Indahnya Bersama Anda, J&T Express juga menggandakan kemeriahan Jualan Mega 11.11 baru-baru ini dengan penganjuran satu lagi kempen khusus untuk semua pelanggannya menerusi Kempen Ceriakan Hidup Anda atau JTIlluminateLifeStory.

Kempen Ceriakan Hidup Anda itu diadakan bertujuan menceriakan hidup orang ramai terutama pelanggan J&T Express dengan memperkenalkan produk terbaru perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menerusi kempen ini, wakil J&T Express turun padang mengadakan siri jelajah di lokasi terpilih sekitar Lembah Klang sepanjang bulan November ini dan mengadakan pelbagai permainan serta aktiviti santai yang menawarkan hadiah menarik.

Antara jenama PKS yang terbabit menjayakan kempen ini termasuklah Y.O.U. Cosmetic, Daboba, Lubarcamp, VitaPack, Gooba+, Inwash serta Shopee.

Emelia berkata, dengan sambutan menggalakkan bukan saja dari pengguna setia J&T Express tetapi juga pelanggan baharu, kempen ini mungkin boleh diteruskan pada tahun akan datang.

"Di J&T Express, kami sentiasa menghargai setiap pelanggan kerana tanpa mereka, siapalah kami hari ini.

"Tiada apa yang mampu membalasnya hanyalah dengan ucapan berterima kasih dari kami J&T Express kepada semua," katanya.

Emelia Yap (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci Proton X70 kepada Syafiq Mustaza. FOTO OWEE AH CHUN
Emelia Yap (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci Proton X70 kepada Syafiq Mustaza. FOTO OWEE AH CHUN

Bagi pemenang kereta Proton X70 ke tujuh Shafiq Mustaza Roslan, 25, berkata tidak pernah menyangka memiliki kereta bernilai lebih RM100,000 dengan percuma.

Menurutnya, dia sememangnya mempunyai hasrat menukar kereta lamanya, Proton Wira yang sudah uzur namun masih belum berkemampuan.

"Saya hanya mempunyai sebiji kereta. Kereta itulah yang saya pakai untuk berniaga dan itulah juga kereta keluarga.

"Memang ada hasrat membeli kereta baru demi keselesaan isteri dan anak tetapi masih tidak mampu.

"Jadi, bila dihubungi pihak J&T Express, saya sukar untuk mempercayainya sehinggalah melihat sendiri kereta X70 yang dimenangi ini," katanya yang sedang membersihkan peralatan berniaga ketika dihubungi.

Shafiq Mustaza juga menyifatkan tuahnya itu sebagai satu hadiah besar selepas menempuh waktu sukar semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, sebagai peniaga kecil ekonomi keluarganya memang terjejas kerana dia tidak boleh berniaga.

"Terima kasih banyak J&T Express kerana menganjurkan kempen ini. Siapa sangka dengan hanya satu bungkusan berupa barangan 'prelove' yang dijual isteri, saya memenangi kereta Proton X70 ini.

"Penganjuran kempen ini bukan saja mampu menarik lebih banyak pelanggan baru tetapi ia dapat membina kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan J&T Express," katanya.

Sementara itu, Pengarah Oasis Live Mall, Datuk Jaden Teoh,41, yang diumum pemenang kereta Proton X70 pada cabutan terakhir berkata kereta yang dimenangi itu akan di berikan kepada pengurusan tertinggi syarikatnya.

"Tuah ini adalah atas nama Oasis Mall. Jadi saya ingin berkongsi bersama mereka.

"Terima kasih J&T Express kerana memberikan hadiah paling besar yang saya pernah menangi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:00 AM