Nurshafika Suhaimi

BAGI memenuhi keperluan ramai, syarikat logistik ekspres antarabangsa, J&T Express melabur RM600 juta bagi pembelian sebidang tanah seluas 12 hektar di Bandar Rimbayu, Selangor.

Tanah itu akan digunakan untuk membina logistik bersepadu pusat pengedaran ekspres, logistik dan pengangkutan serta pergudangan bagi memenuhi keperluan J&T yang semakin meningkat di Malaysia.

Naib Presiden Kumpulan J&T Express Charles Hou berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan lebih mudah dan cekap kepada pelanggan.

"Sebagai penyedia perkhidmatan logistik global, J&T kekal komited untuk mengukuhkan kedudukan penerajunya di Asia Tenggara dengan meluaskan kehadirannya dalam pasaran sedia ada.

"Bahkan, penambahan kemudahan lain dan aplikasi teknologi canggih kami membolehkan kami memanfaatkan rangkaian sedia ada kami dengan lebih baik," katanya

Tambah beliau lagi, projek ini akan meningkatkan kelebihan operasi pihak J&T untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat industri e-dagang yang sedang berkembang di Asia Tenggara.

"Rimbayu adalah segitiga emas masa depan Selangor, kami percaya pada potensi pembangunan masa depan kawasan ini," ujarnya lagi

Dikelilingi oleh empat perbandaran berkembang maju yang boleh diakses ke pelbagai laluan utama, projek baharu ini sudah pastinya dapat menawarkan peluang yang sangat baik untuk kedua-dua permintaan perdagangan dan potensi besar bagi e-dagang.

Ini sekali gus, dapat menjadi lokasi strategik yang penting untuk pengedaran barangan yang pantas dan ideal untuk J&T membina pusat logistik bersepadu terbesarnya.

Projek pusat logistik terbesar syarikat J&T akan dilancarkan bagi meningkatkan infrastrukturnya di Malaysia dengan menggunakan teknologi termaju. - FOTO J&T

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif J&T Express Malaysia, Roy Zeng luahkan rasa syukur dapat menyumbang dan menjadi sebahagian daripada wilayah yang begitu rancak serta disokong oleh ekosistem yang kukuh untuk menyokong rakan kongsi, pelanggan, pihak berkepentingan, pelabur dan pekerja.

"Sejak memulakan operasi lima tahun lepas di Malaysia, permintaan kukuh untuk logistik antarabangsa rentas sempadan dan pertumbuhan pergudangan domestik kekal berterusan dalam pasaran serantau," katanya

Justeru, ini adalah masa sesuai dalam meningkatkan infrastrukturnya di Malaysia dengan menggunakan teknologi termaju bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Tanpa sebarang kelewatan yang tidak dijangka, projek itu akan mengambil masa kira-kira dua tahun dan dijangka dilancarkan pada suku keempat 2024.

Meskipun kebanyakan operasi J&T Express berada di Asia Tenggara, pihak syarikat turut mewujudkan rangkaian global untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya di seluruh dunia.

"Dengan melakukan ini, kami berharap dapat memacu pembangunan ekonomi tempatan, menyediakan pekerjaan untuk komuniti, dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan industri logistik tempatan dan pembangunan jangka panjang masyarakat, " akhiri Roy Zeng

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 9:22 AM