Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kekurangan pelanggan dan permintaan menyebabkan harga sayur-sayuran di negeri turun akibat orang ramai mengehadkan pergerakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, ada peniaga mengambil inisiatif membuat penghantaran dari rumah ke rumah untuk mengelakkan sayur rosak kerana ia hanya mampu bertahan selama tiga hari.

Malah, tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini mendapati kebanyakan peniaga sayur mengehadkan hasil jualan mereka untuk mengelakkan mengalami kerugian.

Antara sayur yang turun harga adalah sawi iaitu daripada RM4 ke RM3 satu kilogram (kg), tomato RM12 ke RM10 (ikut gred), cili merah RM12 ke RM10, timun RM3 ke RM2 dan kacang buncis RM20 ke RM10.

Peniaga sayur, Mawardi Tahar, 50, berkata penurunan harga sayur lebih ketara sejak 1 Februari lalu disebabkan kekurangan pelanggan ke pasar berkenaan atas faktor PKP.

Katanya, disebabkan tiada majlis kenduri serta pergerakan orang ramai yang terhad, permintaan terhadap sayur-sayuran berkurangan.

PEGAWAI KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan di Pasar Besar Alor Setar bagi memastikan harga sayur di negeri ini stabil. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PEGAWAI KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan di Pasar Besar Alor Setar bagi memastikan harga sayur di negeri ini stabil. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Kami tak berani beli banyak dari pembekal kerana bimbang lambakan sayur akan menyebabkan ia mudah rosak.

"Saya juga melakukan penghantaran dari rumah ke rumah bergantung pada permintaan pelanggan kerana bimbang sayur tidak tahan lama dan terpaksa dibuang jika tidak habis dijual," katanya.

Katanya, sebelum ini peniaga menghadapi masalah kekurangan bekalan sayur akibat cuaca dan tanah runtuh di Cameron Highlands menyebabkan harga sayur-sayuran melambung tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan di setiap pasar awam di negeri ini untuk memastikan harga sayur stabil.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat lima jenis sayuran seperti cili merah, tomato, timun, kacang buncis dan sawi mengalami kenaikan mendadak, tetapi sudah turun sejak awal bulan ini.

"Pemeriksaan dilakukan setiap hari untuk memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga lebih tinggi.

"Sekiranya berdegil, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:34 PM