Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Belum sempat isu harga ayam yang melambung tinggi selesai pengguna dikejutkan pula dengan harga sayur-sayuran yang naik mendadak sejak semalam.

Tinjauan ke Pasar Cabang Tiga di sini, mendapati harga sayur sawi dan salad naik mendadak kononnya kerana permintaan yang tinggi sekali gus menyebabkan penawaran sayur itu berkurangan.

Sawi dijual pada harga RM7 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini, manakala salad daripada RM4 sekilogram kini meningkat sehingga RM15 sekilogram dan tomato naik RM1 iaitu daripada RM4 kepada RM5 sekilogram.

Peniaga, Siti Khatidah Muda, 46, dari Kampung Bukit Payung berkata, bukan bidang kuasa peniaga untuk menetapkan harga sayur-sayuran yang dijual itu.

"Kami terima daripada pembekal dengan harga yang sudah tinggi dan mustahil untuk kami mengekalkan harga seperti biasa.

"Mahu atau tidak terpaksa menjual sayur-sayuran berkenaan pada harga yang sesuai dengan keuntungan yang wajar kami perolehi iaitu RM1 hinga RM2 untuk sekilogram.

"Kami bukan dapat keuntungan besar, hanya RM1 hingga RM2 sahaja, malah ada beberapa jenis sayur hanya sedikit keuntungan bersih yang diperolehi," katanya ketika ditemui di gerainya di pasar berkenaan, hari ini.

Menurutnya, sayur-sayuran lain seperti lada, bayam, timun, petola dan lobak masih kekal dan tiada kenaikan atau penurunan harga sejak Ramadan.

"Akibat harga yang meningkat, jualan sayur-sayuran kurang memberangsangkan dan sering tidak habis berbanding biasa.

"Lebih 20 tahun saya berniaga sayur namun tidak pernah jualan merosot seperti Ramadan kali ini.

"Jualan ada tetapi tidak sebanyak jumlah jualan seperti Ramadan pada dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti cara untuk memastikan harga sayur-sayuran stabil dan rendah pada Ramadan.

"Hanya kerajaan sahaja yang boleh mengawal harga pasaran sayur-sayuran itu, peniaga pasar dan runcit ini hanya menuruti harga semasa berdasarkan harga borong yang ditawarkan pembekal atau petani," katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohamad Syafiq Mohd Rizal, 25, Kampung Wakaf Beruas berkata, sawi dan salad adalah sayur paling tinggi permintaannya berbanding yang lain.

"Belum sempat jam 12 tengah hari, salad sudah habis terjual biarpun harganya meningkat.

"Jika diikutkan sambutan dan jumlah jualan tidak meriah pada Ramadan kali ini, malah faktor banyak kedai makan yang tidak beroperasi menjadi penyebab utama jualan sayur-sayuran merudum," katanya.

Menurutnya, berpandukan keadaan semasa harga sayur-sayuran berpotensi untuk semakin meningkat dalam tempoh terdekat.

"Penawaran sayur-sayuran merosot sekarang oleh itu harga pasti meningkat apabila permintaan melebihi penawaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan segera ke atas kenaikan harga beberapa jenis sayur-sayuran di negeri itu.  

"Kami sedia maklum mengenai kenaikan beberapa harga barang termasuk ayam dan sayur-sayuran itu.  

"Anggota akan dihantar untuk mengenal pasti punca utama yang menyebabkan harga sawi dan salad itu naik mendadak.  

"Kami akan pergi kepada sumbernya sama ada peladang, pemborong dan peruncit untuk pastikan di sumber mana harga sayur ini tinggi sekali gus menyebabkan harga meningkat," katanya ketika dihubungi.  

Menurutnya, sawi dan salad itu tidak termasuk dalam kumpulan barangan kawalan namun ia tidak bermakna peniaga atau sesiapa sahaja boleh meningkatkan harga sesuka hati.  

Harga sayur sawi dan salad naik mendadak kononnya kerana permintaan yang tinggi sekali gus menyebabkan penawaran sayur itu berkurangan.
Harga sayur sawi dan salad naik mendadak kononnya kerana permintaan yang tinggi sekali gus menyebabkan penawaran sayur itu berkurangan.

"Kami tidak mahu ada isu peladang, pemborong atau peniaga mengambil kesempatan meningkat harga untuk meraih keuntungan tidak munasabah pada Ramadan.  

"Jika berlaku demikian, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.  

Menurutnya, pihaknya memandang serius dengan isu kenaikan harga barangan di sepanjang Ramadan dan akan mengambil tindakan segera bagi menanganinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 4:36 PM