TUN Dr Mohd Khalil Yaakob (enam dari kiri) bergambar bersama Sulaiman (lima dari kiri) dan barisan EXCO Melaka yang baharu pada Istiadat Pengurniaan, Angkat Sumpah Jawatan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli EXCO di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.
TUN Dr Mohd Khalil Yaakob (enam dari kiri) bergambar bersama Sulaiman (lima dari kiri) dan barisan EXCO Melaka yang baharu pada Istiadat Pengurniaan, Angkat Sumpah Jawatan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli EXCO di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.
Amir Mamat


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan mendahului senarai pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, hari ini.

Beliau diumumkan sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Ia disusuli bekas Ketua Menteri yang yang juga Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir; Adun Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan) serta Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan).

Turut mengangkat sumpah, Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan); Adun Merlimau, Datuk Roslan Ahmad (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur);

Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Adun Ayer Molek, Rahmad Mariman (Exco Kesihatan dan Antidadah) dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (Exco di Jabatan Ketua Menteri).


Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada semua ahli Exco baharu dilantik dan berharap tanggungjawab serta amanah besar yang digalas itu hendaklah dilaksana dengan sempurna bagi menjadikan Melaka sebagai negeri maju ditunjangi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri akan mengutamakan kebajikan rakyat khusus dalam melaksanakan kaedah kepada penyelesaian secara konkrit berkaitan isu air serta penularan Covid-19.

“Kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan negeri untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi selain menarik lebih banyak pelaburan baharu tempatan mahu pun asing, meningkatkan peluang pekerjaan rakyat, merancakkan sektor pelancongan dan paling utama adalah memperkasa kebajikan rakyat secara keseluruhan.

“Tumpuan pelaburan baharu menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi Melaka.

“Sasaran utama kita adalah untuk menarik semula keyakinan pelabur untuk kembali melabur ke Melaka, sekali gus dapat mencapai sasaran tahunan pelaburan negeri sebanyak RM5 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 5:00 PM