Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua penuntut institut pengajian tinggi yang mewakili Malaysia dalam pertandingan Adobe Certified Associate (ACA) World Championship 2021 mengharumkan nama negara selepas diumum sebagai juara dan tempat kelima pertandingan itu.

Danny Tse Wei Chun yang juga juara dan Teo Sze Ting (tempat kelima) memenangi pertandingan berkenaan selepas berjaya mengalahkan 65,000 peserta dari 65 negara.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, beliau kagum dengan prestasi hebat dipamerkan dua penuntut terbabit.

"Saya berharap kejayaan ini dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar setiap sektor untuk meletakkan diri mereka di luar sana dan mempamerkan bakat mereka kepada dunia.

"Pertandingan ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang mempunyai prestasi bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Danny yang menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) Kampus Sungai Long dinobatkan sebagai juara pertandingan itu selepas menewaskan 51 peserta akhir.

Kebolehan beliau menyampaikan mesej dengan kreatif melalui ilustrasi digital memenangi hati pelanggannya, Limbitless Solutions.

Pemenang ACA World Championship 2021 diumumkan oleh Certiport yang amat kenali sebagai sebuah pembekal terkemuka yang menguruskan peperiksaan pensijilan teknologi maklumat (IT) berasaskan prestasi.

Sijil itu dapat memberi peluang akademik dan kerjaya kepada pelajar, manakala pertandingan membolehkan juara membawa pulang $7,000 (RM29,477), $3,500 (RM14,738.50) untuk tempat kedua dan $1,500 (RM6,316.50) tempat ketiga.

Dalam pertandingan itu, peserta perlu menampilkan kebolehan mereka menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign dalam bidang komunikasi digital.

Pada pusingan akhir yang diadakan pada 16 hingga 18 November lalu, setiap finalis diberikan tempoh enam jam untuk melengkapkan tiga reka bentuk aset pemasaran.

Ia kemudian akan disemak dari segi daya tarikan visual, keupayaan untuk memuaskan keperluan pelanggan, estetika jenama dan kemahiran mereka dalam penggunaan aplikasi Adobe Creative Cloud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:50 PM