VERTONGHEN cedera pada aksi menentang Huddersfield, bulan lalu. FOTO/AFP
VERTONGHEN cedera pada aksi menentang Huddersfield, bulan lalu. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Jan Vertonghen dijangka tidak akan beraksi sehingga Disember ini, akibat kecederaan hamstring dan perkara itu disahkan oleh Tottenham sekali gus menambahkan lagi masalah kecederaan yang melanda kelab itu.

Pertahanan berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan ketika mereka melakarkan kemenangan dalam aksi Liga Perdana di Huddersfield, bulan lalu.

“Pertahanan antarabangsa Belgium itu akan meneruskan proses pemulihan dan dijangka akan kembali berlatih semula pada Disember ini,” kata Spurs dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web pasukan.

Vertonghen dijangka akan terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven, dengan Spurs kemungkinan akan tersingkir daripada saingan itu selepas tewas kepada Inter Milan dan Barcelona.

Dia mengalami kecederaan akibat bertembung dengan penyerang Huddersfield, Laurent Depoitre di babak awal perlawanan pada 29 September lalu, namun meneruskan aksi sehingga tamat separuh masa tanpa memikirkan akibat daripada kecederaan itu.

Spurs, kini berkedudukan tempat kelima dalam carta Liga Perdana turut berdepan dengan banyak masalah kecederaan sebelum ini.

Danny Rose menarik diri daripada tugas bersama England minggu ini kerana kecederaan pangkal paha, manakala Christian Eriksen, Mousa Dembele, Dele Alli dan Serge Aurier juga tidak beraksi dalam perlawanan baru-baru ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 11:19 AM