ANTARA baju raya sumbangan orang ramai untuk anak saudara Danny. FOTO Ihsan Danny
ANTARA baju raya sumbangan orang ramai untuk anak saudara Danny. FOTO Ihsan Danny
Redzuan Muharam


Segamat: "Terima kasih banyak sebab sudi bantu, semoga murah rezeki dan dipermudahkan urusan dunia akhirat.

"Danny tak dapat balas, harap Allah balas kebaikan yang menyumbang," kata pengawal keselamatan, Muhd Khairil Mohd Yusri, 31.

Dia yang mesra disapa Danny menzahirkan penghargaan itu selepas menerima banyak panggilan telefon dan mesej daripada individu yang berhasrat menyumbang baju raya untuk tiga anak saudaranya, Nur Khaiza, 14; Nur Hidayah, 12; dan Muhd Adam Aqil, 6.

Kisah Danny merayu orang ramai yang mempunyai baju raya terpakai dan masih elok untuk diberi kepada anak saudara bagi meraikan Aidilfitri, dilapor Harian Metro hari ini.

Dia yang menetap di Kampung Batu Badak, di sini sangat terharu dengan keprihatinan orang ramai kerana bertanya khabar dan sudi menghadiahkan baju raya untuk dipakai anak saudaranya pada pagi Syawal nanti.

Bagaimanapun, dia memohon maaf tidak menerima semua sumbangan ditawarkan yang baginya di luar jangkaan dan melebihi keperluan.

"Ikutkan sudah cukup sumbangan itu, malah ada juga di TikTok yang nak menyumbang tetapi terpaksa saya tolak.

"Tadi saya ada ke pusat bahagian sisa pepejal dengan seorang sahabat dan disyorkan untuk beri baju yang tak muat tak kira yang besar atau kecil kepada jiran.

"Jika ada lebih, saya dicadangkan hantar ke masjid di sini (Segamat), di sana mereka (pengurusan masjid) akan urus baju untuk disedekahkan kepada asnaf atau Orang Asli," katanya ketika dihubungi.

Untuk itu, katanya, selepas ini jika menerima sumbangan baju raya, dia berhasrat menghantarnya ke Masjid Bandar Putra, di sini untuk diagihkan kepada yang memerlukan.

Danny berharap, kisahnya menjadi satu permulaan kepada semua pihak untuk membantu individu memerlukan, kerana masih ramai yang memerlukan sokongan masyarakat.

"Itu mesej yang Danny nak sampaikan supaya usaha baik membantu insan memerlukan diteruskan," katanya.

Terdahulu, video Danny meraih perhatian warga media sosial yang simpati dan menyumbang baju raya untuk dipakai tiga anak saudaranya.

Danny dilapor berkata, tidak mampu untuk membelikan baju baharu buat mereka tahun ini selepas baru sahaya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan rumah mereka dilanda banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 3:57 PM