Danny X-Factor
Danny X-Factor
Zaara Talita


Kuala Lumpur : "Kenapa nak malu? Bukan saya buat kerja yang tidak halal, kan? Lagipun, kepada yang bercakap buruk tu, awak ke yang beri duit untuk bayar bil bulanan saya?"

Itu kata pelakon dan penyanyi, Danny X- Factor, 42, yang tidak malu menjadi pemandu e-hailing, malah menganggap pekerjaan itu yang menjadi penyelamatnya ketika pandemik Covid-19 lalu.

Danny berkata, dia yang kini lebih aktif bekerja di balik tabir sebagai pembantu penerbit mengakui seronok menjadi pemandu e-hailing kerana pekerjaan itu lebih menyenangkan hati.

"Ada yang apabila masuk kereta bertanya, kau sudah tidak berlakon ke? Atau kau dah tiada tawaran dah ke? Itu adalah antara soalan yang membuatkan saya terasa. Apa salahnya kan? Janji dapat menyara keluarga saya pada ketika itu.

"Sebenarnya, saya bekerja pemandu e-hailing sejak 2017. Inilah juga kerja yang menyelamatkan saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Malah, isteri saya yang bekerja sebagai pramugari tidak 'terbang', jadi gaji pun tiada.

"Di situlah, kerja sebagai pemandu e-hailing banyak membantu saya. Kalau diikutkan, pendapatannya lebih lumayan daripada kerjaya seni. Malah, saya juga menyusun pergerakan bagi melangsaikan bil yang perlu dibayar setiap bulan," katanya.

Danny atau nama sebenarnya, Mohd Kardanie Anwa pernah mencipta kemasyhuran bersama kumpulan X-Factor yang turut dianggotai Fendi, Zack, Shah dan Ivarn.

Selain drama Sehangat Api, 7251364 dan Tak Sanggup, Danny turut membintangi filem Seri Dewi Malam, Idola, No Problem, KL Menjerit dan banyak lagi.

"Saya kini lebih selesa bergerak belakang tabir dan membiarkan wajah-wajah baru untuk ke depan. Mungkin kerana itu juga sudah lama saya tidak dilihat di kaca televisyen.

"Namun, itu tidak bermakna saya tidak akan menerima sebarang tawaran berlakon. Insya-Allah kalau ada tawaran yang bersesuaian dan masa lapang saya akan terus berlakon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 4:39 PM