GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Mayat bayi perempuan ditemui dalam keadaan mula membusuk di batas sawah padi berhampiran Lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 8.35 pagi.

"Mayat bayi itu ditemui pemilik tanah ketika melalui kawasan itu pada jam 8.30 pagi.

"Keadaan mayat ketika ditemui tanpa sebarang pakaian, mula membengkak dan membusuk.

"Menurut pemilik tanah, kali terakhir dia melalui kawasan itu adalah pada jam 4.30 petang kelmarin ketika melakukan kerja membaja sawah namun tidak menemui mayat itu," katanya dihubungi media.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen, kain balutan atau kesan ditemui di sekitar kejadian.

"Mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.

"Status bayi itu hidup atau mati ketika dilahirkan juga tidak dapat dipastikan kerana organ dalaman sudah hancur dan punca kematian belum dapat dipastikan," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu polis atau menghubungi talian Hotline IPD Kerian di talian 05-721 5222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 2:43 PM