Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Hanya satu daripada 29 sungai di Terengganu melepasi paras amaran berikutan hujan sederhana lebat sejak pagi hari ini.

Sehingga 4.30 petang hari ini, bacaan paras air Sungai Terengganu di Kuala Nerus melebihi paras amaran iaitu 3.20 meter.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, jika hujan sederhana lebat berterusan, paras air di sungai itu dijangka meningkat ke paras bahaya iaitu 3.80 meter.

"Setakat ini keadaan air di 28 lagi sungai masih berada di bawah paras normal melainkan berlaku peningkatan paras air di Sungai Terengganu di Kuala Nerus.

"Penduduk tinggal di tebing sungai itu diminta sentiasa berwaspada dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika berlaku peningkatan paras air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut mengesahkan tiada bilik gerakan bencana di peringkat negeri dan daerah dibuka.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah sudah berada dalam kesiapsiagaan serta bersedia untuk digerakkan bagi melakukan kerja menyelamat.

Menurutnya, kerajaan negeri membuat persiapan awal termasuk menyediakan sebanyak 575 PPS yang mampu menampung 146,200 mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:50 PM