Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas  sesi pertukaran memorandum persefahaman sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) MADANI 2023 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas sesi pertukaran memorandum persefahaman sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) MADANI 2023 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Seramai 801 Pengurus dan 521 Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Digital Negara (PEDi) bakal menikmati manfaat kenaikan elaun sebanyak RM500 mulai Januari depan.

Kenaikan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap semasa merasmikan Persidangan PEDi Madani 2023, di sini, hari ini.

"Elaun Pengurus dinaikkan daripada RM2,000 ke RM2,500 manakala elaun Penolong Pengurus pula dinaikkan kepada RM2,000, berbanding RM1,500 sebelum ini," katanya.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil.

Terdahulu, sebelum pengumuman kenaikan elaun itu, Perdana Menteri turut bertanyakan kepada pengurus dan penolong pengurus yang hadir pada persidangan berkenaan sama ada bersedia dengan tugas tambahan kelak.

"Saya nak tambah beban supaya setiap PEDi itu dipantau diberikan laporan supaya dapat menjurus kepada kelompok yang lebih luas kepada anak-anak sekolah.

"Terutamanya memberi latihan kepada mereka dan perkenalkan pelbagai aplikasi dan kecanggihan bidang teknologi digital, (jadi) setuju kalau saya beri tugas tambahan ini," katanya.

Beliau berkata, elaun baharu itu sepatutnya diberikan pada bulan April tahun hadapan namun kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan bayarannya bermula Januari 2024.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan KKD kerana memberi galakan serta dorongan kepada ramai anak muda.

"Saya terharu (melihat) orang muda terlibat dalam PEDi, begitu semangat dan beri dokongan lebih kepada PEDi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 5:32 PM