Keadaan kereta mangsa yang remuk dipercayai menjadi punca mangsa tercampak keluar. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan kereta mangsa yang remuk dipercayai menjadi punca mangsa tercampak keluar. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang penjawat awam maut tercampak dari kereta dipandunya selepas terbabas dan merempuh pokok di Jalan Limbawang Bypass di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Benard Kimbiat, 51, yang memandu Perodua Alza seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Melabau di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang juga kakitangan Majlis Daerah Beaufort itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, kenderaan mangsa kemudiannya merempuh sebatang pokok sehingga menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.

"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Kenderaan yang dipandu mangsa juga remuk teruk bahagian depan akibat rempuhan kuat itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian Covid-19.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 3:11 PM