LELAKI yang ditahan di Balai Polis Kuala Penyu ditahan. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI yang ditahan di Balai Polis Kuala Penyu ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut anggota polis menggunakan parang di hadapan Balai Polis Kuala Penyu, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, lelaki tempatan berusia 48 tahun terbabit dipercayai berada dalam keadaan mabuk berikutan bau arak selain keadaannya yang terhuyung hayang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian disedari seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas di balai berkenaan.

Katanya, anggota polis yang melihat kehadiran suspek sempat bertanyakan tujuan lelaki terbabit datang ke balai berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek terus berkata "mahu tetak kau" sambil mengangkat sebilah parang panjang menyebabkan mangsa terus masuk ke kaunter aduan balai polis dan mengunci pintu.

"Namun suspek sekali lagi menjerit "matlamat saya datang balai mahu bunuh polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, pasukan polis yang menerima maklumat terus menghantar bantuan dan berjaya menahan suspek serta merampas parang berkenaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati ketika kejadian suspek disyaki berada dibawah pengaruh alkohol.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek juga akan diarahkan untuk menjalani ujian saringan air kencing bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 4:18 PM