Suspek ditahan selepas mengamuk sambil memegang parang kerana tidak diberi duit. FOTO  IHSAN PDRM
Suspek ditahan selepas mengamuk sambil memegang parang kerana tidak diberi duit. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki mengamuk sambil memegang parang selepas gagal mendapatkan wang daripada neneknya dipercayai untuk membeli dadah dalam kejadian di Kampung Kerukan, Kuala Penyu di sini, semalam.

Malah, dalam kejadian jam 8 pagi itu, lelaki itu turut menjerit ingin membunuh orang sehingga menakutkan neneknya yang berusia 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berusia 43 tahun itu tinggal bersama neneknya.

Katanya, suspek mengamuk selepas berang kerana tidak diberikan wang oleh neneknya dipercayai untuk membelu syabu.

"Siasatan juga mendapati sebelum ini suspek pernah mengamuk selepas tidak diberikan wang lalu merosakkan rumahnya menggunakan parang.

"Suspek juga dikatakan mahu membunuh orang. Susulan itu, neneknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Penyu, jam 12.26 tengah hari, semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ke lokasi kejadian.

"Suspek diberkas anggota polis Balai Kuala Penyu sebelum diserahkan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

"Saringan ujian air kencing suspek mendapati dia positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah," katanya.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:09 PM