GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Akibat marahkan isteri kerana mahu pulang ke kampung, seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila memberi racun rumput kepada anak perempuan mereka berusia lima tahun, Ahad lalu.

Dalam kejadian 12 tengah hari di Kampung Bundu, Kuala Penyu, di sini, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan turut mencekik mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suami dan isteri.

Katanya, isteri suspek menyatakan mahu pulang ke kampung bersama anak ke Keningau namun perkara itu dibantah suaminya.

"Suspek yang berang kemudian memberi anaknya minum kopi yang dicampur dengan racun rumput.

"Perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan anak sulungnya yang berusia lapan tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, tidak cukup dengan itu, suspek didakwa membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa.

Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-Kanak)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 12:11 PM