PESTA Kaamatan.
PESTA Kaamatan.
Izwan Abdullah

[email protected],my

Kota Kinabalu: Sekolah di Sabah tetap bercuti pada 30 dan 31 Mei tahun depan sempena cuti umum Tadau Kaamatan meskipun takwim persekolahan 2022 - 2023 menyatakan tarikh berkenaan berada dalam hari persekolahan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, tarikh itu adalah cuti kelepasan am yang digazetkan kerajaan negeri dan sekolah di negeri ini tetap tertakluk terhadap ketetapan berkenaan.

"Saya mendapat pertanyaan daripada pengetua dan guru besar berkaitan takwim persekolahan 2022 khususnya tarikh 31 Mei sebagai hari persekolahan.

"Sila maklum bahawa cuti kelepasan am negeri tidak diambil kira dalam pengiraan hari persekolahan dalam takwim persekolahan Kementerian Pendidikan sejak dahulu lagi.

"Bukan Sabah saja, negeri lain pun begitu. Ini kerana pada 30 dan 31 Mei 2022, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bercuti tetapi di negeri lain, tarikh itu adalah hari bekerja," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau memberi penjelasan mengenai kekeliruan terhadap takwim persekolahan tahun depan dikeluarkan Kementerian Pendidikan, baru-baru ini, yang menyatakan tarikh 30 dan 31 Mei berada dalam hari persekolahan.

Mistirine berkata, sekolah di Sabah akan bercuti pada 30 dan 31 Mei 2022 selagi digazet sebagai cuti umum oleh Kerajaan Sabah.

"Perkara ini adalah baharu bagi kita kerana selama ini, tarikh 30 dan 31 Mei berada dalam tempoh Cuti Persekolahan Pertengahan Tahun," katanya.

Tarikh 30 dan 31 Mei 2022 jatuh pada hari Isnin dan Selasa.

Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai adalah sambutan perayaan berunsur kebudayaan masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil tanaman, khususnya padi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 9:49 AM