MOHAMED Iran (tengah) bersama 26 usahanita Sahabat AIM terpilih sekitar Perak.
MOHAMED Iran (tengah) bersama 26 usahanita Sahabat AIM terpilih sekitar Perak.

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan rakan strategiknya, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menganjurkan Program Amal Musa'adah bagi menyediakan bantuan perniagaan kepada 50 usahawan kecil dan mikro yang bernaung di bawah AIM atau lebih dikenali sebagai Sahabat AIM.

Daripada jumlah berkenaan, 26 terdiri daripada usahanita asnaf dari Perak dan 24 dari Pahang.

Bantuan perniagaan ini membabitkan peruntukan dana zakat dan tanggungjawab korporat, Amal Bank Islam berjumlah lebih RM170,000.

Antara jenis perniagaan yang diusahakan usahanita terbabit adalah gerai makanan, perusahaan makanan tempatan seperti kerepek dan kuih-muih, kedai jahit, kedai runcit, perniagaan di pasar malam dan jualan pakaian terpakai.

Bertujuan menyokong kelangsungan perniagaan Sahabat AIM terbabit, Program Amal Musa'adah menyampaikan bantuan mengikut keperluan perniagaan masing-masing termasuk rak keluli, kotak penyejuk beku, mesin kuih-muih, kanopi, rak barangan, mesin jahit dan dapur.

Penyerahan bantuan perniagaan itu disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff bersama Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal Mashahrin pada majlis di Ipoh, Perak.

Sementara itu, Mohamed Iran Moriff berkata, Bank Islam sentiasa memberi tumpuan kepada usahawan yang menyumbang kepada ekonomi, di samping memberikan sokongan diperlukan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"Usaha seperti Amal Musa'adah ini usaha penting ke arah itu, malah program ini menzahirkan komitmen Bank Islam sebagai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dalam melindungi dan memastikan kesejahteraan masyarakat secara lebih meluas," katanya.

Bank Islam, menerusi penganjuran Program Amal Musa'adah memperuntukkan lebih RM92,000 untuk manfaat 36 usahanita terpilih dari Terengganu pada 2017 dan hampir RM70,000 kepada 56 Sahabat AIM dari Kedah pada 2019.

Manakala 49 Sahabat AIM dari Johor menerima manfaat daripada hampir RM100,000 yang disediakan pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 7:05 AM