SEORANG wanita maut selepas motosikal diboncengnya merempuh haiwan yang melintas jalan dipercayai babi hutan di Kilometer 2, Jalan Air Mawang, Renggoh, Kuala Pilah, jam 8.15 pagi tadi.
SEORANG wanita maut selepas motosikal diboncengnya merempuh haiwan yang melintas jalan dipercayai babi hutan di Kilometer 2, Jalan Air Mawang, Renggoh, Kuala Pilah, jam 8.15 pagi tadi.
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Wanita maut selepas motosikal dibonceng merempuh haiwan dipercayai babi hutan yang melintas jalan di Kilometer 2, Jalan Air Mawang, Renggoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi, mangsa Norlela Mohamed Sharif, 35, menaiki motosikal yang ditunggang suaminya untuk ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Kampung Air Mawang.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mangsa parah di kepala dan maut di lokasi, manakala suaminya juga parah di bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang berasal dari Sabah itu menaiki motosikal dari arah rumahnya di Kampung Melekai menuju ke arah Kampung Air Mawang.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 40 tahun dipercayai melanggar haiwan yang sedang melintas sebelum mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh ke jalan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, akibat kemalangan berkenaan, penunggang motosikal yang parah dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.

"Manakala isterinya mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan supaya tampil memberikan maklumat ke mana-mana balai berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 1:24 PM