TANGKAP layar video tular.
TANGKAP layar video tular.
BERNAMA

Seremban: Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan pegawai penguat kuasanya membuang barangan jualan seorang peniaga Bazar Ramadan di Kampung Renggoh Jalan Jehol Air Mawang, susulan video yang tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook hari ini.

Yang Dipertua MDKP Mohd Faizal Abdul Manap berkata, video berdurasi 20 saat itu adalah rakaman kejadian yang berlaku di tepi jalan di kawasan itu serta tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Hasil siasatan dalaman mendapati kejadian berlaku semalam (ketika) pegawai penguat kuasa MDKP membuat rondaan serta pemantauan penjaja di Bazar Ramadan Air Mawang dan persekitaran kawasan Johol.

"Peniaga itu sengaja membuat provokasi dengan menyelerakkan meja jualan hingga mengakibatkan barang jualannya terjatuh di atas jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa sudah bertoleransi sebaiknya dan menasihati peniaga itu untuk mematuhi prosedur berniaga dengan memohon lesen penjaja di pejabat MDKP, namun pemeriksaan mendapati peniaga itu masih lagi ingkar.

Mohd Faizal berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mengambil tindakan tegas dengan melaporkan kepada pihak polis terhadap fitnah yang disebarkan di media sosial Facebook Group N19 Johol, demi menjaga imej dan kredibiliti MDKP.

Dalam pada itu Mohd Faizal berkata, MDKP telah memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membina Pusat Penjaja di Melang, Juasseh dan Pilah Perdana bagi penempatan semula penjaja-penjaja kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 9:33 PM