ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Polis
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 48 pengunjung dan pemilik sebuah kelab malam di sini, dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM265,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Serbuan kira-kira 12 tengah malam tadi dilakukan sepasukan 14 pegawai serta anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur.

Ketua JPJKK Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata, serbuan mendapati pemilik premis melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 iaitu melakukan aktiviti terlarang dalam pub atau kelab malam.

"Pemilik dikenakan kompaun bernilai RM25,000 manakala seramai 48 pengunjung yang berada dalam premis dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

"Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap semua pengunjung terbabit dan 13 daripada mereka didapati positif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, operasi sedemikian akan dipertingkatkan selepas ini bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga kota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:51 PM