Salah seorang pekerja kedai runcit memeriksa bekalan minyak masak untuk dijual kepada pelanggannya ketika tinjauan di sebuah kedai runcit di sekitar Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Salah seorang pekerja kedai runcit memeriksa bekalan minyak masak untuk dijual kepada pelanggannya ketika tinjauan di sebuah kedai runcit di sekitar Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Wartawan HM

Rantau Panjang: Beberapa individu dikesan membeli bekalan minyak masak paket di sini kerana mahu menjualnya semula kepada pembeli di Thailand bagi memperoleh keuntungan dua kali ganda.

Biarpun terpaksa menunggu dan beratur lama bagi mendapatkan bekalan berikutan pembelian dihadkan sebanyak dua kilogram (kg) seorang, namun mereka sanggup malah turut membawa anggota keluarga lain bagi membolehkan lebih baik pembelian dilakukan.

Tinjauan ke beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Rantau Panjang, mendapati lokasi terbabit mula dipenuhi pengunjung sekitar jam 11 pagi, semata-mata untuk mendapatkan minyak masak paket yang dihadkan sebanyak dua kilogram (kg) seorang.

Malah, minyak masak yang dijual dilihat habis dalam tempoh kurang satu jam dan hasil tinjauan juga mendapati ada antara individu di kalangan penduduk tempatan berulang kali beratur atau membawa ahli keluarga lain supaya dapat membeli dengan jumlah lebih banyak.

Pembeli yang mahu dikenali sebagai Salmiah, 45, mengakui dia sanggup menunggu untuk mendapatkan bekalan minyak masak kerana mahu menjualnya semula kepada individu yang sedia menanti di sebelah Thailand dengan harga dua kali ganda lebih mahal.

"Disebabkan premis menetapkan hanya dua kilogram minyak dibenarkan bagi setiap orang, jadi saya membawa dua anak untuk turut membeli minyak masak ini. Saya membeli minyak pada harga RM2.50 sekilogram dan menjualnya semula pada harga RM4 sehingga RM5 sekilogram.

"Malah, nilai berkenaan boleh jadi lebih tinggi bergantung kepada jarak lokasi ia dijual. Biasanya, saya membawa masuk minyak masak dalam kuantiti kurang 10kg dan jika mendapat bekalan yang banyak saya akan ke Golok dua atau tiga kali sehari.

"Saya lebih banyak masuk ke sana melalui pangkalan haram sambil membeli barangan di pekan Golok atau menziarahi saudara di sebelah Thailand," katanya yang mengakui permintaan minyak masak paket tiga kali ganda lebih banyak sepanjang Ramadan ini.

Beberapa pembeli mendakwa minyak masak tempatan menjadi pilihan bukan sahaja kerana harga yang lebih murah tetapi juga susulan rasa was-was penduduk Islam di negara sempadan akan status halal minyak masak yang dijual di sana.

Bagi Azrul, 29, dia membeli minyak masak untuk diseludup hanya ketika Ramadan sahaja kerana difahamkan mendapat permintaan tinggi selain membekalkan minyak berkenaan kepada individu lain yang menjadi 'orang tengah' untuk membawa bekalan ke Thailand.

"Saya hanya 'tukang beli' sahaja dan menjual kepada 'orang tengah' pada harga RM3.50 sekilogram sebelum dia menjualnya semula kepada peniaga di sana dengan harga yang lebih tinggi.

"Biasanya pasar raya di sini mengenakan syarat yang ketat dan ada waktu tertentu untuk menjual minyak masak paket yang mana dijual terus daripada kaunter pembayaran. Saya terpaksa menunggu sehingga lebih satu jam sebelum pihak pasar raya mengeluarkan stok untuk dijual," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail, berkata pihaknya akan mengambil tindakan dan terus memperketatkan kawalan bagi mengatasi isu penyeludupan minyak masak.

Menurutnya, pihaknya juga menerima makluman bahawa permintaan minyak masak meningkat untuk kegunaan perniagaan serta pembuatan biskut menjelang Hari Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 3:15 PM