MR DIY Group (M) Bhd
MR DIY Group (M) Bhd
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih MR DIY Group (M) Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat kepada RM144.88 juta daripada RM127.77 juta tahun lepas.

Perolehan syarikat itu bagi tempoh di bawah kajian melonjak 9.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.14 bilion daripada RM1.05 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh sumbangan positif daripada kedai baharu.

Kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, rangkaian kedai itu berkembang 15.4 peratus pada suku pertama 2024 daripada 1,125 kepada 1,292 kedai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan kukuh merentasi semua petunjuk utama dan bagi beberapa tempoh, yang bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan daya tahan model perniagaan syarikat itu, tetapi juga nilai yang menarik untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

"Walaupun tekanan inflasi mungkin reda sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami sedar bahawa keadaan masih mencabar bagi kebanyakan isi rumah. Kami tetap komited untuk menjadikan barangan keperluan rumah harian mampu milik dan boleh diakses oleh semua.

"Rancangan kami pada 2024 adalah untuk mengukuhkan lagi syarikat dengan membuka 180 kedai baharu pada 2024 dan melepasi sasaran kami sebanyak 2,000 kedai menjelang 2028," katanya.

Kumpulan itu kukuh dalam komitmennya untuk mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan melalui strategi pengembangan kedai serta merebut peluang melalui pengambilalihan untuk mempercepatkan pertumbuhan.

MR DIY mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.01 sesaham biasa, kira-kira RM94.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 yang akan dibayar pada 21 Jun 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 12:25 PM