Sekretariat Gagasan Bebas, Muhammad Zaki Omar (kiri) menunjukkan surat akur janji mengenai Gagasan Bebas ketika ditemui di Ayer Keroh, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Sekretariat Gagasan Bebas, Muhammad Zaki Omar (kiri) menunjukkan surat akur janji mengenai Gagasan Bebas ketika ditemui di Ayer Keroh, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Seramai 13 daripada 22 calon Bebas mengambil langkah bergabung dan berkongsi manifesto untuk bersama-sama bagi menentang 99 calon lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Gabungan yang dikenali sebagai 'Gagasan Bebas' itu merangkumi Ariff Adly Mohammad (Telok Mas); Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang); Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil); Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek); Datuk Kamisan Palil (Kuala Linggi); Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Serkam).

Selain itu, Mohd Akhir Ayob (Asahan); Azefen Amin (Gadek); Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput); Azlan Daud (Machap Jaya); Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal); Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia).

Dalam satu kenyataan, 13 calon Bebas itu memaklumkan mereka memilih untuk bergabung dalam satu platform bagi memenuhi aspirasi rakyat Melaka, yang didakwa kecewa dengan pergolakan politik di negeri itu.

Katanya, jumlah calon Bebas yang menyertai gagasan itu juga dijangka bertambah, sekali gus menjadi lebih kukuh dengan penyertaan calon Bebas lain.

"Calon Bebas atas platform gagasan ini bukan sekadar ingin memenangi kerusi dalam pilihan raya, tetapi berhasrat dan bersedia menubuhkan kerajaan, memimpin Kabinet negeri bagi agenda memajukan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Calon dalam platform gagasan ini juga ingin membuat ikrar Aku Janji, iaitu kami tidak akan membentuk parti politik baharu selepas selesai PRN Melaka, dan tidak akan sesekali melompat menyertai mana-mana parti.

"Kami bersedia memeterai dokumen Aku Janji yang terikat dengan undang-undang, yang mana calon Bebas yang menang perlu mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta, dan rakyat bolen menyaman kami di mahkamah jika melanggar dan mengingkari Aku Janji ini," katanya.

PRN Melaka menyaksikan 112 calon bertembung di 28 DUN seluruh Melaka, dengan sejumlah 90 calon adalah daripada lima parti politik dan 22 calon Bebas.

Daripada jumlah itu, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan seorang calon mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 10:43 PM