FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Segelintir pengundi hanya akan memilih calon Bebas sebagai tanda protes terhadap parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata, selain itu calon Bebas juga boleh meraih undi daripada pengikut tegarnya sahaja.

"Sebab itu calon Bebas mempunyai peluang yang sangat tipis untuk menang sebab setiap calon memerlukan jentera parti untuk bantu berkempen.

"Melainkan seseorang calon Bebas itu mempunyai pengaruh atau tokoh yang besar dan mempunyai pengikut yang ramai," katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang berkata, walaupun ada calon Bebas menang dalam pilihan raya sebelum ini namun hakikatnya mereka dibantu jentera parti tertentu.

"Calon Bebas yang tiada sokongan parti kurang impak dalam mana-mana pilihan raya. Ini kerana mereka kekurangan dari segi logistik, guna tenaga dan jentera berbanding calon bertanding atas tiket parti," katanya.

PRN di enam negeri membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu menyaksikan jumlah keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dipertandingkan, turut menarik penyertaan 41 calon Bebas.

Berdasarkan data pencalonan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon Bebas yang bertanding pada PRN ini adalah kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 570 calon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 4:45 PM