Adly Zahari (kanan) bersama risalah Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang dilancarkan.  FOTO ASYRAF HAMZAH
Adly Zahari (kanan) bersama risalah Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang dilancarkan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ahmad Suhael Adnan


Ayer Keroh: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 32 inisiatif sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selain mengumumkan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon tunggal Ketua Menteri jika gabungan itu menang pada pilihan raya berkenaan.

Manifesto bertemakan Pelan Tindakan-Maju Bersama Harapan itu merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi penduduk, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Mengumumkan inisiatif itu, Adly yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, berkata isu kesihatan, ekonomi dan kestabilan politik dilihat perkara paling penting yang perlu diatasi di Melaka.

Antara inisiatif itu, katanya, termasuklah menggubal enakmen anti lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan Melaka, selain mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang setaraf EXCO.

"PH juga akan memberikan hak peruntukan tahunan setara kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa mengira parti.

"Selain itu, kita akan mewajibkan setiap ADUN membuat pengisytiharan harta, menjadikan dan amalan tender terbuka sebagai teras proses perolehan negeri.

"Pelaksanaan teras ini ditulis sebagai pelan tindakan sebab selepas mandat di peroleh, tugas utama PH Melaka adalah bertindak untuk memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan politik negeri dapat dijayakan," katanya pada majlis pengumuman Pelan Tindakan-Maju Bersama Harapan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua Timbalan Pengerusi PH, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya mengumumkan Adly sebagai calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika PH menang pada PRN Melaka, 20 November ini.

Ia sekali gus mengakhiri khabar angin mengenai kemungkinan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang juga bekas Ketua Menteri Melaka di era pentadbiran Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Idris Haron kembali memegang jawatan itu.

Anwar berkata, Adly yang pernah memegang jawatan itu selama kira-kira 22 bulan bermula Mei 2018, dipilih secara konsensus oleh barisan kepemimpinan PH.

"Kita sudah menonjolkan satu tokoh yang pernah memimpin kerajaan PH Melaka. Naratif kita konsisten, apa saja langkah mengembalikan mandat PH harus kita dokong.

"Dengan itu, muafakat dan konsensus yang tercapai antara kepemipinan adalah meneruskan komitmen yang sama dan dengan ini menamakan Adly sebagai calon Ketua Menteri Melaka apabila kita menang," katanya.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 8:15 PM