GAMBAR hiasan. FOTO ASYRAF HAMZAH
GAMBAR hiasan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemilihan beberapa calon muda bawah usia 40-an dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat sebagai strategi meraih sokongan pengundi muda dan belia.

Bukan saja itu, ia boleh menyumbang kepada penyaluran perspektif baharu ke dalam parti masing-masing.

Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, dengan kuasa personaliti lama yang dominan dalam semua parti di Malaysia, amalan berhierarki menjadi tanda tanya sama ada suara pemimpin muda akan didengari dalam parti.

"Daripada sudut pilihan raya, calon muda datang dengan imej baharu, meskipun bukan semua calon baharu dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) itu golongan muda.

"Mereka mungkin lebih cakna dan memahami sentimen orang muda dan belia serta boleh memperkukuhkan parti, mereka mungkin lebih bebas daripada legasi atau amalan politik lama.

"Mungkin mereka bertekad untuk membawa perubahan atau amalan politik baharu di Malaysia khasnya di dalam parti masing-masing," katanya kepada Harian Metro.

Dr Muhammad Nadzri berkata, diharap calon muda berupaya untuk membawa nafas baharu dalam berpolitik berasaskan prinsip dan kepentingan bersama di dalam sistem kepartian yang penuh personaliti dan berhierarki kini.

Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai sesuatu yang sihat untuk demokrasi.

"Soal pengalaman mungkin penting, walaupun sebenarnya integriti dan kesedaran kemanusiaan (kesaksamaan, keadilan dan kelestarian) itu pada saya adalah lebih penting.

"Apa yang penting calon ini mempunyai pendedahan awal dan pengalaman politik meskipun terhad.

"Pengalaman ini boleh dibina dari semasa ke semasa, malah sekiranya mereka menang nanti, pemimpin muda seperti ini memang perlu, apatah lagi dengan Undi 18 nanti," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting calon muda itu naik atas potensi dan kredibiliti mereka, bukan atas faktor pilih kasih atau kronisme.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, meletakkan calon muda yang tidak dikenali dan tiada pengalaman adalah risiko ditanggung setiap parti politik.

"Bagaimanapun, strategi paling seimbang dengan meletakkan calon senior dan muda.

"Calon muda penting untuk menarik ramai pengundi dalam kalangan usia sebaya mereka, di PRN Melaka kebanyakan pengundi berusia 30-an hingga 40-an, dan memang wajar setiap parti meletakkan calon muda," katanya.

Beliau berkata, selain itu, parti politik perlu memberi pendedahan kepada pemimpin muda untuk menjadi calon sebagai pelapis di masa akan datang.

"Jadi saya lihat strategi ini bagus, walaupun sedikit berisiko kerana tiada pengalaman, tidak dikenali dan lebih-lebih lagi dalam suasana kempen yang agak sukar kerana tidak boleh bersemuka.

"Tetapi kita harus ingat, calon muda ini bagus dalam media sosial dan mempunyai strategi sendiri dalam menggunakan digital untuk meraih undi.

"Malah, PRN Melaka sebagai penanda aras dalam menentukan kedudukan pemimpin muda dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 3:10 PM