LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Penemuan basikal di atas jalan memberi petunjuk buat seorang ibu yang mengesyaki anak lelakinya berkemungkinan terjatuh ke dalam sungai di Kampung Perupok, dekat sini, hari ini.

Ibu mangsa yang berusia 36 tahun itu dikatakan mencari anaknya, Mohd Hafiz Izzan Awari, 6, di tempat kejadian selepas tidak pulang namun tidak menemuinya.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, anggota Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerima panggilan memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dipercayai terjatuh dalam sungai berkenaan.

Beliau berkata, ia susulan penemuan basikal milik mangsa di atas jalan iaitu lokasi terakhir kanak-kanak itu bermain bersama kakaknya yang berusia sembilan tahun.

"Pada awalnya, kanak-kanak itu ke rumah neneknya di Kampung Perupok bersama ibu berusia 36 tahun serta kakaknya, namun kedua-dua kanak-kanak itu kemudian bermain di tepi sungai.

"Bagaimanapun, kakaknya pulang ke rumah neneknya terlebih dahulu dan meninggalkan adiknya bermain seorang diri di tepi sungai itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, ibu dan kakak mangsa ke tempat lokasi mereka bermain selepas kanak-kanak itu tidak pulang sehingga lewat petang.

"Ibunya mendapati hanya basikal mangsa berada di situ sebelum menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.

"Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas tergelincir
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 11:39 PM