ANGGOTA bomba melakukan pencarian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai tergelincir di Kampung Perupok. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba melakukan pencarian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai tergelincir di Kampung Perupok. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai di Kampung Perupok, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.35 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan yang diketuai Ketua BBP Yan, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib dikejar ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, ibu mangsa memaklumkan anaknya berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus sungai ketika hujan lebat.

"Anggota bomba kemudian membuat pencarian di permukaan air di lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seramai lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Sungai Petani sudah diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu pencarian.

Katanya, kawasan itu tidak terjejas dalam banjir namun aliran air sungai dilaporkan meningkat selain air yang laju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 8:29 PM