Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS di negeri ini. FOTO IHSAN APM
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS di negeri ini. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah mencecah 856 orang daripada 234 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, setakat 4 petang hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, semua mangsa banjir itu di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Beliau berkata, jumlah terkini keseluruhan mangsa banjir di daerah Kota Setar adalah seramai 550 mangsa daripada 156 keluarga.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar kekal seramai 80 mangsa daripada 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti seramai 67 mangsa daripada 25 keluarga manakala PPS SK Darul Hikmah seramai 118 mangsa daripada 32 keluarga.

"PPS SK Convent seramai 87 mangsa dari 22 keluarga, SK Titi Gajah seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pula menempatkan seramai 163 mangsa daripada 48 keluarga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Muaz berkata, PPS SK Haji Wahab di daerah Kota Setar ditutup sepenuhnya pada 2 petang hari ini dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, satu lagi PPS dibuka di Kota Setar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala dibuka pada 2 petang dengan menempatkan seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga, sekali gus menjadikan tujuh PPS di daerah itu.

"Keseluruhan masih banjir kekal 287 mangsa daripada 75 keluarga di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah (206 mangsa daripada 50 keluarga) dan PPS Dewan Cenderawasih seramai 81 mangsa daripada 25 keluarga.

"Satu PPS dibuka di daerah Baling iaitu SK Padang Tembak A menempatkan seramai 10 mangsa daripada satu keluarga.

"PPS di daerah Pokok Sena iaitu di SK Tualang pula masih menempatkan seramai enam mangsa daripada dua keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:33 PM