KEADAAN di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang dan Sabak Bernam ketika fenomena air pasang besar berlaku hari ini. FOTO Faliq Lajim dan Mohd Shukor Amin
KEADAAN di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang dan Sabak Bernam ketika fenomena air pasang besar berlaku hari ini. FOTO Faliq Lajim dan Mohd Shukor Amin
Faliq Lajim dan Mohd Shukor Amin


BERLAKU limpahan air minimum dan tidak serius di beberapa kawasan pesisiran pantai di Selangor berikutan fenomena air pasang besar, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, Pelabuhan Klang mencatatkan ketinggian paras air laut 5.6 meter pada 6.31 pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, di lokasi lain keadaan masih selamat dan terkawal.

"Setakat ini ban dan benteng di Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang masih kukuh dan berada dalam keadaan baik.

"Tiada kawasan penempatan terjejas yang memerlukan pemindahan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pasukan bomba sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, empat lokasi di Sabak Bernam dikesan mengalami limpahan air minimum, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Khairuddin Md Som berkata, empat lokasi itu ialah di Benteng Sungai Apong, Dataran Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Bagan Sekinchan dan jalan berturap berhadapan Pintu Air Sungai Besar.

Menurutnya, pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan terbabit mendapati air naik 4.50 pagi.

"Namun keadaan kembali pulih sebaik air pasang beransur surut kira-kira sejam selepas itu," katanya.

Mohd Khairuddin yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, fenomena air pasang yang berlaku sejak dua hari lalu tidak menjejaskan kawasan penempatan penduduk khususnya di lokasi berisiko tinggi.

Katanya, pemantauan JPS mendapati ban laut di pesisir pantai di daerah itu berada dalam keadaan kukuh selain tiada ban dilaporkan pecah.

"Pihak kami dan JPS akan terus melakukan rondaan 24 jam bagi memantau keadaan dan mengambil langkah perlu menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 5:27 PM